Senarai LAGU RAYA Terbaru + POPULAR 2024



                                                            Profil Jo-Anna Bintang RTM


                                                            Permata dari Sabah
                                                            Oleh Zaidi Mohamad
                                                            Sumber Berita Harian

                                                            Pada usia 20 tahun, Joanna hadir dengan pakej sempurna untuk mewarnai pentas hiburan tanah air

                                                            LELAKI mana yang tak jatuh hati dan terpana melihat kejelitaan wajah naib juara Bintang RTM (BRTM) 2009, Jo-Anna Sue Henley Rampas atau Joanna. Gadis kelahiran Sabah berusia 20 tahun ini, dari keluarga berdarah campuran iaitu bapanya warga British, manakala ibunya pula dari kaum Dusun, mula menarik minat beberapa pihak untuk melamarnya sebagai artis syarikat rakaman.

                                                            Ini tidak menghairankan kerana Joan hadir dengan pakej penampilan diri yang lengkap untuk bergelar anak seni.

                                                            Ketika ini anak sulung daripada tiga beradik itu belum membuat sebarang keputusan berhubung lamaran itu. Malahan, dia yang kini diuruskan buat sementara waktu oleh ibunya, Sulah Rampas, 52, sudah tidak menang tangan menerima tawaran membuat persembahan.

                                                            “Keputusan yang bakal dibuat berkaitan syarikat rakaman masih belum dapat dipastikan. Saya kena fikir betul-betul. Ketika ini saya masih belajar, mengambil pengajian undang-undang selama tiga tahun di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur.

                                                            “Dua tahun di Malaysia dan tahun terakhir di London pada 2011, iaitu di Universiti Bristol, United Kingdom. Ketika ini baki pengajian saya di Kuala Lumpur hanya tinggal kira-kira setahun.

                                                            “Melainkan kalau ditawarkan sebarang kontrak jangka pendek iaitu, selama enam bulan, mungkin dapat dipertimbangkan,” katanya.

                                                            Mengimbas kembali penyertaannya dalam BRTM 2009, Joanna berkata, ia sebenarnya tidak mudah kerana pada peringkat awal ia menimbul kurang senang dan menghadapi sedikit halangan daripada ibunya.

                                                            Ibunya pernah menyanyi dan bertugas di RTM Sabah sebagai penerbit segmen hiburan, tetapi meninggalkan stesen penyiaran itu tahun 1994 untuk menjalankan perniagaan sendiri.

                                                            Selain menyanyi, Joanna turut mempunyai bakat sebagai mengacara. Dia pernah mengacarakan program terbitan RTM seperti Bintang Kecil. Bahkan dia pernah menjadi pengacara Selamat Pagi Malaysia pada 2006 hingga 2007, sementara menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Selepas menerima tawaran belajar (ijazah Undang-Undang), dunianya lebih kepada bergelar pelajar kolej.

                                                            “Pada awal tahun ini, selepas habis peperiksaan semester saya balik ke Kota Kinabalu. Kebetulan ketika itu, berlangsung uji bakat BRTM 2009. Juara BRTM 2007, Rey yang berkawan baik dengan saya suruh mencuba nasib dalam pertandingan itu.

                                                            “Perasaan saya berbelah bagi apatah lagi ibu seorang yang tegas. Dia mahu saya menghabiskan pengajian terlebih dulu. Ibu saya ada kuasa mutlak, namun akhirnya saya diberi kebenaran menyertai BRTM 2009 dengan syarat tidak mengabaikan pelajaran.

                                                            “Saya tak menyangka akhirnya pada pertandingan kemuncak BRTM 2009, 28 Jun lalu saya mendapat tempat kedua. Keluarga cukup bangga dengan pencapaian saya ini,” kata anak bekas juruterbang itu.

                                                            Ditanya lanjut apa yang ingin dicapainya pada masa mendatang dalam dunia seni, pemenang Ratu Cantik Keamatan Peringkat Negeri Sabah 2007 itu berkata, dia ingin menjadi anak seni yang serba boleh tanpa terikat dengan bidang saja.

                                                            “Kalau boleh saya mahu menjadi lagenda dalam bidang seni,’ katanya dalam nada berseloroh.

                                                            “Bidang muzik saya lebih terarah kepada pop rock. Tetapi saya tidak boleh membataskan kepada satu genre muzik. Saya mahu diingati dengan cara tersendiri tanpa menjadi klon kepada penyanyi sedia ada.

                                                            “Untuk permulaan, saya akan siapkan single berkonsep balada ciptaan komposer terkenal di Sabah iaitu Jestie Alexius. Saya difahamkan pihak RTM sendiri ada menjanjikan single untuk setiap pemenang. Lagu single ini sebagai menguji keadaan pasaran,” katanya.

                                                            Adam hanya teman

                                                            JOANNA pernah dikaitkan mempunyai hubungan akrab sehingga dianggap pasangan kekasih dengan bintang realiti Akademi Fantasia musim kedua (AF2), Adam.

                                                            Tidak mudah melatah ketika diajukan soalan itu, dia tidak menafikan mereka sebenarnya sudah lama rapat. Istilah rapat yang dimaksudkan itu tidak lebih daripada hubungan teman.

                                                            “Kami satu negeri dan saya mula kenal dia (Adam) sejak sekolah menengah lagi. Kami pun minat bidang yang sama iaitu menyanyi. Sebagai teman, saya sentiasa menyokong kerjaya seninya dari belakang dan tumpang bangga dengan kejayaannya. Kami pernah berduet menyanyikan lagu kumpulan Mendua iaitu Hampir Ke Situ ketika Stacy disambut kepulangannya di Dewan KDCA, Kota Kinabalu. “Mengenalinya sebagai kawan, saya lihat dia sangat kreatif. Dia bekerja keras untuk sampai ke tahap sekarang. Dia berdikari dan bijak mempromosikan dirinya tanpa mengharapkan bantuan orang lain.

                                                            “Bayangkan sejak AF2, dia masih lagi bertahan hingga sekarang. Selain menyanyi dan berlakon, dia juga sudah memiliki syarikat sendiri dan bergelar pengarah,” kata Joanna yang pernah berlakon iklan komersial untuk syarikat telekomunikasi, makanan segera dan minuman ringan.

                                                            Cuba mengalih perhatiannya mengenai isu cinta terhalang dan mendapat tentangan keluarga atas faktor agama, kakak sulung kepada Peter John, 18, dan Crystal, 11, bijak menjawab isu itu secara am dan mempunyai alasannya tersendiri.

                                                            “Walaupun saya bukan Islam, saya percaya kepada takdir termasuk soal jodoh. Kalau Tuhan sudah menetapkan jodoh dengan seseorang yang berlainan agama apa yang kita dapat lakukan.

                                                            “Sekalipun hubungan itu tidak disukai dan dihalang keluarga tetapi jika ia sudah jodoh, kita sebagai manusia biasa mungkin perlu akur dan teruskan saja hubungan itu,” katanya yang turut bergelar model sambilan sejak 2007 dan menjadikan Tyra Banks sebagai idola.

                                                            INFO: Joan

                                                            * Selain diumkan sebagai Naib Juara BRTM 2009, Joanna juga dipilih pemenang kategori Persembahan Terbaik dan Bintang Paling Popular untuk pertandingan itu.
                                                            * Belum bersedia untuk menerima tawaran berlakon kerana loghat Sabah masih kuat. Dia mahu memberi tumpuan kepada dunia nyanyian dan diimbangkan dengan pelajaran. Namun, jika ada peluang berlakon yang kunjung tiba dan bersesuaian dengan watak serta masa, dia mungkin akan mempertimbangkan.
                                                            * Sejurus selepas tamat pengajian dalam bidang undang-undang nanti, dia bercadang melanjutkan pengajian dalam bidang vokal kerana berhajat mahu menjadi pensyarah vokal.


                                                            PROFIL: Joan

                                                            * Nama penuh: Jo-Anna Sue Henley Rampas
                                                            * Umur: 20 tahun
                                                            * Tarikh lahir: 24 Mac 1989
                                                            * Tempat lahir: Kampung Poturidong, Kiulu, Sabah
                                                            * Kejayaan: Naib Juara Bintang RTM 2009, Persembahan Terbaik dan Bintang Paling Popular Bintang RTM 2009
                                                            * Idola: Faizal Tahir, Michael Jackson, Celine Dion dan Hetty Koes Endang
                                                            * Emel: joannashr89@gmail.com

                                                            No comments:

                                                            Post a Comment

                                                            Komen di sini

                                                            Kongsi post yang anda SUKA ini di FACEBOOK & media sosial lain dengan rakan anda.







                                                            Arkib