Senarai LAGU RAYA Terbaru + POPULAR 2024



                                                            Sinopsis Drama Slot Samarinda Ayoub

                                                            Menerusi slot Samarinda di TV3 drama bersiri baru yang diterbitkan Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB) berjudul Ayoub akan menyajikan banyak mesej berguna.
                                                            Drama bersiri 25 episod yang akan disiarkan setiap Selasa bermula esok, jam 10.30 malam diarahkan pengarah berbakat, Hitler M Zami dengan membariskan pelakon popular tanah air seperti Iqram Dinzly, Fizz Fairuz, Fiza Halim, Watie Sadeli, Rosnah Johari, Norish Karman, Razak Ahmad, Ahmad Tarmimi Siregar, Datuk Rahim Razali dan Mak Jah.

                                                            Nukilan skrip oleh Faznita Md Nor mengisahkan Ayoub lakonan Iqram Dinzly yang sentiasa bersabar terhadap segala rintangan dalam hidupnya. Ayoub dibesarkan oleh ibunya, Banun (Rosnah Johari) dalam keadaan yang sederhana selepas ayahnya, Musen meninggal dunia semasa Banun baru mengandung.

                                                            Ibu bapa Musen yang berasal daripada keluarga berada menyangka Banun berlaku curang dengan Mat Sewel (Razak Ahmad) lalu tidak mengaku Ayoub sebagai cucu mereka.

                                                            Ayoub mempunyai seorang kawan karib, Wan Aidil (Fizz Fairuz) sejak bangku sekolah. Ibu Wan Aidil, Norma (Norish Karman) sentiasa cemburu terhadap Banun dan tidak membenarkan Wan Aidil rapat dengan Ayoub. Wan Aidil berkahwin dengan Sazzy (Watie Sadeli), seorang gadis bandar yang kaya. Norma berasa bangga dengan kejayaan anaknya namun dia selalu mendesak Wan Aidil supaya lebih berjaya daripada Ayoub.
                                                            Ayoub pula memulakan kerjayanya sebagai seorang pengedar beras di kampung. Dia mewarisi harta peninggalan datuknya dan dapat mengembangkan perniagaannya. Walaupun keuntungannya kini tinggi, Ayoub menjalani kehidupan secara sederhana mengikut hukum Islam dan sering menolong mereka yang memerlukan. Ayoub bertemu jodoh dengan Tengku Zarima (Fiza Halim). Mereka dikurniakan empat anak. Perniagaan Ayoub semakin maju. Ayoub sering bersedekah kepada penduduk kampung dan menjadi penaja kepada beberapa dana.

                                                            Mimpi ngeri Ayoub bermula apabila Wan Aidil semakin tertekan dengan kejayaan Ayoub. Kehidupan Wan Aidil tidak semewah dan bahagia yang diimpikan selepas ditimpa dengan beberapa masalah. Wan Aidil sanggup melakukan apa saja bagi menjatuhkan Ayoub. Syarikat Ayoub mula menghadapi masalah setelah beberapa pekerjanya berpaling tadah. Anak yatim yang pernah dibantu pula menuduh Ayoub mencabul kehormatannya. Imej Ayoub sebagai seorang dermawan dan usahawan yang berjaya tercalar. Namun, Ayoub dan Tengku Zarima masih sabar dan tabah menghadapi segala cabaran. Wan Aidil bertindak lebih agresif sehingga tergamak membunuh anak Ayoub serta menyebabkan Ayoub menderita dengan penyakit kulit akibat sisa bahan toksik.

                                                            Ayoub menyepi diri di dalam hutan. Dia enggan menerima sebarang bantuan daripada sesiapa dan mula menyalahkan Tuhan mengenai nasib malangnya. Zahra, seorang anak yatim yang pernah dibantu oleh Ayoub hadir dalam hidupnya dan tekad memulihkan semangat Ayoub.

                                                            Tags: Drama Samarinda baru, Drama Ayoub, Iqram Dinzly, OST Drama Ayoub, Lagu Tema Drama Ayoub

                                                            No comments:

                                                            Post a Comment

                                                            Komen di sini

                                                            Kongsi post yang anda SUKA ini di FACEBOOK & media sosial lain dengan rakan anda.







                                                            Arkib